Friday, September 12, 2008

Mimbar Minggu Ini : 1


KEHANCURAN SEBUAH TAMADDUN


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian .


Saya berpesan kepada diri saya dan semua sidang jumaat sekelian , agar bertaqwa kepada Allah . Melaksana perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Menghayati syariat Allah swt dan menghidupkan sunnah Rasulullah saw dalam kehidupan seharian .


Marilah Kita memastikan diri kita agar benar – benar menjadi seorang muslim mukmin yang muttaqin . Menjadi seorang hamba yang menyerah diri kepada Allah , yakin dan takut kepada Allah swt .


Ingatlah ! bahawa kita adalah khalifah Allah swt . yang diamanahkan untuk memakmurkan muka bumi ini dengan syariat Allah dan mengisi tamaddunnya dengan pengabdian diri kepada Allah swt .


Sidang Jumaat sekelian .


Tamaddun atau peradaban adalah suatu pencapaian dalam kehidupan manusia yang beranjak maju ke hadapan menyaingi zaman . Tamaddun , pada sifat umumnya adalah menjanjikan kesenangan , keselesaan , kemodernan , kemudahan , kekayaan dan kecanggihan dan kenikmatan buat manusia .


Demikianlah episode tamaddun yang pernah dilalui oleh ummat manusia sejak dari zaman kuno atau zaman batu hinggalah ke zaman millennium yang serba canggih dan ranggi .


Muslimin sidang Jumaat yang dihormati sekelian .


Tiada siapa dikalangan ummat manusia yang menolak tamaddun , malah Islam sendiri tidak anti tamaddun sebaliknya Islam menerima dan memelihara tamaddun yang menjadi tabii’e dalam kehidupan manusia di muka dunia ini .


Namun menjadi satu tragedy malang , apabila sesebuah tamaddun itu , mengenepikan unsur spiritual yang berasaskan wahyu ilahi , lalu menjadikan material asas utama pembinaan tamaddun tersebut .


Malang seribu kali malang , bagi sebuah Tamaddun yang tidak lagi meletakkan tauhid sebagai asas orientasinya , syiar islamiyyah sebagai asas pembangunannya , akhlak solehah sebagai asas komunikasinya , amanah dan jujur sebagai asas intergritinya , adil dan saksama sebagai asas pentadbirannya dan istighfar sebagai asas hisbahnya .


Sidang Jumaat sekelian ,


Tamaddun yang lompang syariat dan sunnah tersebut , kini telah bertukar menjadi ancaman besar kepada ummat manusia .


Apabila manusia dan tamaddunnya telah dipengaruhi oleh material tanpa spiritual atau kebendaan tanpa kerohanian , akhirnya melahirkan manusia yang rakus serta tamak memburu kebendaan dan kekayaan dunia , tanpa memperdulikan halal haram juga dosa pahala .


Manusia dan tamaddun seperti ini tidak lagi menjanjikan kebahagian dan ketenangan sebaliknya kehancuran dan kemusnahan .


Inilah reality yang pernah diperingatkan oleh Allah Qadhi Rabbul Jalil :


ظَهَرَ اْلفَسَادُ فِي اْلبَرِّ وَ اْلبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى النَّاسِ
لِيُذِيْقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوْا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُوْنَ .


Telah zahirlah kerosakan di darat dan di laut angkara perbuatan tangan manusia, lantas Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka , agar mereka kembali ke jalan yang benar .


Ar Ruum : 41


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian .


Kini dunia sedang menyaksikan aliran tamaddun kebendaan yang begitu deras, lantas menghanyutkan manusia yang leka dan lalai . Tamaddun kebendaan ini semakin melonjak dan menggalak , lalu memerangkap manusia dalam sebuah kehidupan yang tidak lagi mengenal Allah sebagai tuhan dan tidak lagi mengharapkan Akhirat sebagai hari pembalasan .


Tamaddun hari ini bukan lagi tamaddun yang direstui oleh Allah swt . Justeru tamaddun hari ini adalah :
  • Tamaddun yang mengiktiraf arak dan judi sebagai hasil pembendaharaan Negara dengan memberi lesen operasinya .
  • Tamaddun yang mengiktiraf pesta hiburan dan pergaulan bebas sebagai ketenangan dan kedamaian kononnya dengan memberi permit aktivitinya.
  • Tamaddun yang mengiktiraf kelab – kelab malam yang menjadi pusat operasi pelacuran dengan memberi lesen kepada premisnya.


Sidang jumaat sekelian .


Tamaddun seperti ini bukan Tamaddun Islam . Sebaliknya ini adalah Tamaddun yang penuh dengan tipu daya , tamaddun yang dimurkai oleh Allah swt . Tamaddun yang hanya membawa manusia kepada nikmat dunia yang sedikit dan sementara , kelak apabila mereka mati meninggalkan dunia ini untuk berpindah ke alam barzakh , maka bermula siri baru kesengsaraan dan penderitaan hidup mereka yang penuh azab dan siksa .


Andainya kita tertipu jua dengan tamaddun seperti ini , maka samalah kita dengan kelkatu yang keluar di malam hari selepas hujan untuk mencari cahaya lampu . Kelkatu terpesona dan terpedaya dengan keindahan cahaya neon, setelah sekian lama mereka hidup dalam busut yang diselubungi kegelapan .


Tanpa tujuan mereka berterbangan dibawah cahaya lampu , semata – mata menikmati keindahan dan kemeriahan cahaya lampu yang sementara , akhirnya mereka terkorban apabila tertipu dengan biasan cahaya yang datang dari takungan air di bawah lampu tersebut .


Begitulah tamaddun kelkatu atau kelkatu hadhari yang menjunam menuju kebinasaan .


Demikianlah sidang jumaat sekelian , ramai manusia kelkatu yang menjadi mangsa fatamorgana tamaddun kebendaan hari ini . Sedang Allah swt telah mengingatkan kita dengan firmanNya :


اِعْلَمُوْا أَنَّمَا الْحَيَوةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَ لَهْوٌ وَ زِيْنَةٌ وَ تَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَ تَكَاثُرٌ فِي اْلأَمْوَالِ وَ اْلأَوْلاَدِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ اْلكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيْجُ فَتَرَـهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُوْنُ حُطَامًا وَ فِي اْلآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيْدٌ وَ مَغْفِرَةٌ مِنَ اللهِ وَ رِضْوَانٌ وَ مَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ اْلغُرُوْرِ .


Maksudnya : Ketahuilah oleh mu , bahawa kehidupan dunia adalah suatu permainan , kelalaian , perhiasan , saling bermegah – megah antara kamu dan berlumba memperbanyakkan harta dan anak pinak , samalah seperti hujan yang turun, menakjubkan orang – orang kafir ( apabila ia menumbuhkan ) tumbuh – tumbuhan ( yang menghijau ) kemudian ia akan kering dan warnanya bertukar menjadi kuning kemudian hancur . Dan di akhirat nanti , ada azab yang keras dan ampunan dari Allah swt. serta keredhoaanNya sementara kehidupan dunia ini , tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu .


Al Hadid : 20


Inilah reality sebuah tamaddun yang tidak tunduk kepada peraturan dan hukum
hakam Allah swt.


Kita lihat pula bagaimana tragedy yang dialami oleh sebuah tamaddun yang menentang hukum Allah . Firman Allah swt :


أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ إِرَمَ ذَاْتِ الْعِمَادِ اْلَّتِىْ لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِيْ الْبِلاَدِ
وَثَمُوْدَ الَّذِيْنَ جَابُوْا الصَّخْرَبِاْلوَادِ وَ فِرْعَوْنَ ذِى اْلأَوْتَادِ اْلَّذِيْنَ طَغَوْا فِي اْلبِلاَدِ
فَأَكْثَرُوْا فِيْهَا اْلفَسَادَ فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ
إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ
.


Maksudnya : Apakah kamu tidak melihat ( wahai Muhammad ) bagaimana Allah swt memperlakukan golongan Aa’d iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan – bangunan yang mencakar langit , yang belum pernah dibangunkan sebelum daripadanya dan kaum Thamud yang memotong batu – batu gunung yang besar di lembah dan Firaun yang mempunyai pasak – pasak tentera yang ramai . Mereka melakukan perbuatan yang melampaui batas ( toghut ) di dalam negeri lalu mereka memperbanyakkan kerosakkan dalam negeri itu , lantaran itu Allah menimpakan azab ke atas mereka . Sesungguhnya Tuhanmu benar – benar mengawasi .


Al Fajr : 6 – 14


Sidang Jumaat yang dihormati Sekelian .


Tidak banyak bezanya dengan tamaddun yang sedang dinikmati oleh manusia hari ini , yang bersifat sementara . Menyaksikan bagaimana tamaddun hawa nafsu atau ( mengikut bahasa arab sesetengah pihak sebagai ) Syahwat Hadhari atau Tamaddun Syahwat , menjadikan ummat manusia tersungkur dalam kancah maksiat dan mungkar yang kian subur .


Bangunannya hebat dan kecanggihannya dahsyat , tetapi jiwa manusianya kosong dari petunjuk ilahi . Syaitha: n dan iblis memandu mereka untuk melakukan pelbagai jenayah seperti Rasuah , Riba , Zina , Bunuh , Fitnah , Dera, Dedah , Dadah , Rompak , Samun , Ragut , Rogol , Tipu , Pecah Amanah , Khianat , Menindas dan Menzalimi mereka yang lemah dan tidak berupaya .


Jika inilah aktiviti yang menghiasi tamaddun kita hari ini , maka ia bukan lagi tamaddun islam tetapi tamaddun syaithan atau Syaithan Hadhari . Tamaddun yang menelurkan 1001 jenayah dikalangan ummat manusia untuk membinasakan mereka malah menyesatkan mereka dari petunjuk Allah swt .


Firman Allah swt .


قاَلَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِيْ َلأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي اْلأَرْضِ وَ َلأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِيْنَ إِلاَّ عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِيْنَ


Maksudnya : Telah berkatalah syaithan : Tuhanku , dengan sebab engkau menyesatkan aku , nescaya aku akan hiasi permukaan bumi ini ( dengan segala maksiat dan jenayah ) dan akan menyesatkan mereka keseluruhannya kecuali hambamu dikalangan orang – orang ikhlas terhadap agamanya .


Al Hijr : 39 – 40


Sidang Jumaat sekelian , marilah kita insaf dan sedar , betapa kita perlu membersih dan mengisi tamaddun ini dengan peraturan Ilahi dan meneranginya pula dengan sinaran Al Quran .


Usaha ini belum terlambat digerakkan guna menyelamatkan generasi kita dari terus menjadi mangsa tamaddun kebendaan . Usaha ini memerlukan perjuangan yang gigih dari semua pihak untuk mendaulatkan kembali Syariat Allah , membina kembali daulah Islamiyyah yang terlaksana di dalamnya segala peraturan dan hukum allah swt. , atau membina kembali Khilafah islamiyyah yang telah runtuh sejak sekian lama .


بارك الله لكم في القرآن العظيم


Khutbah Oleh : Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi


No comments: